PETALING JAYA: Pelakon, Erra Fazira, mendakwa cerita kononnya beliau merancang untuk berkahwin pada Februari atau Mac depan sekadar andaian dibuat pihak tertentu.
Menafikan khabar terbabit, Erra yang digelar primadona filem Melayu alaf baharu berkata, semua tarikh itu bukanlah keluar daripada mulutnya.
"Saya tidak pernah rancang apa-apa tarikh perkahwinan. Sebaliknya, macam-macam tarikh yang saya dengar," katanya.
Malah, bintang Sembilu itu berjanji akan berkongsi tarikh bahagianya apabila tiba masa untuk berbuat begitu.
Erra, 44, berkata beliau pasti mahu berkongsi tarikh bermakna itu bersama orang yang banyak membantu kerjayanya selama dua dekad lalu.
"Jodoh bukan di tangan saya dan saya sayang rakan media. Bila sampai masa, pasti saya akan kongsikan," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersamanya di sini, hari ini.
Mengenai hubungan bersama penyanyi kontroversi yang dikaitkan dengannya, Shahir, Erra mengaku masih berkawan dan berhubung dengan pemuda itu.
Beliau turut mengaku ada memberikan nasihat kepada Shahir, 29, supaya memperbaiki dan memulakan hidup baharu.
"Saya beritahu dia supaya memulakan 2018 ini untuk menjadi lebih baik.
"Saya bagaimanapun tidak boleh mengulas hal atau masalah lain membabitkan dirinya. Masalah dia bukan masalah saya," katanya.
Pada majlis sama, Erra secara rasmi mengumumkan dirinya kini berada di bawah pengurusan Mind Order Sdn Bhd, berkuat kuasa bulan ini.
Katanya, syarikat pengurusan terbabit adalah yang pertama buat dirinya sepanjang bergelar artis, sejak lebih 20 tahun lalu.
"Saya percaya mereka akan membantu mengembangkan lagi kerjaya saya sebagai artis, malah kami sudah pun ada beberapa perancangan bersama ke arah itu," katanya.